Blog

Sejarah Penubuhan Yayasan Matri

SEJARAH PENUBUHAN YAYASAN MATRI

Dalam arus kebangkitan Islam pada hari ini, kita berhadapan dengan satu suasana di mana Islam berada di dalam keadaan yang kabur. Kabur dalam erti kata ia begitu berbeza dengan Islam yang dibawa oleh Junjungan Besar kita Rasulullah SAW dan apa yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam kitab suci al-Quran.

Di Samping itu, proses penyampaian ilmu yang ada di kebanyakan Institusi pada masa ini juga kabur dan mengelirukan. Ilmu diletakkan pada satu sudut yang lain manakala akhlak dan penghayatan diletakkan pada sudut yang lain pula, di mana berlaku pertembungan di antara ilmu dan akhlak serta ilmu dan penghayatan. Natijahnya maka timbul berbagai masalah kerana ilmu tidak diasaskan di atas dataran iman dan keyakinan kepada kewujudan Allah SWT. Tanpa iman yang kukuh dan keyakinan yang mantap, ilmu yang dipelajari tidak mungkin direalisasikan di dalam kehidupan seharian.

Berhadapan dengan realiti yang ada ini, maka timbul Hasrat untuk mewujudkan satu suasana yang boleh menangani berbagai gejala negatif yang mencengkam kehidupan remaja-remaja kita hari ini. Dengan itu MATRI ditubuhkan dengan bermatlamat membekalkan remaja-remaja ini dengan satu sistem Pendidikan yang menyeluruh bagi melahirkan insan Rabbani yang beriman dan berakhlak mulia.

Hari demi hari sambutan yang diterima dari masyarakat terhadap MATRI amat memberangsangkan. Bilangan pelajar makin bertambah dari tahun ke tahun. Tapak kampus perlu diperluaskan, bangunan-bangunan baru perlu didirikan, alat bantuan pelajaran dan pengajaran perlu ditambah bagi menampung pertambahan pelajar ini. Selain itu, pelajar-pelajar miskin dan anggota masyarakat setempat yang kurang berkemampuan juga perlu dibantu. Dengan perkembangan ini, maka Lembaga Tadbir MATRI memutuskan untuk menubuhkan satu institusi kewangan yang kukuh bagi menangani keperluan-keperluan di atas.

Akhirnya, satu permohonan diajukan kepada Kementerian di Jabatan Perdana Menteri pada 1 September 1998 dan pada 20 November 1998 permohonan tersebut diterima. Pada 1 Oktober 2000 pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia telah meluluskan Pelepas cukai kepada Yayasan MATRI untuk mengutip derma daripada orang ramai dan kemudian menyalurkan derma tersebut kepada pihak-pihak yang memerlukan.

Nombor pelepasan cukai: (LHDN.01/35/42/51/179-6.4903)

Post a comment